Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Sayuhti Bakar berkata, program kali kedua itu bertujuan memartabatkan Petaling Jaya sebagai pusat kegiatan aktiviti teater di Selangor.

"Program dengan kerjasama Majlis Teater Selangor ini dilihat mampu meneruskan perkembangan kumpulan atau persatuan penggiat seni teater yang berdaftar di Selangor untuk terus berkembang maju.

"Selain itu, usaha ini juga ke arah penyediaan kemudahan pementasan terbaik, seterusnya merealisasikan matlamat bandar raya ini sebagai Kota Seni," katanya ketika berucap melancarkan program berkenaan di Ibu Pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Beliau berkata, johan pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan insentif pengarahan terbaik berjumlah RM1,000.

"Naib johan pula akan menerima RM3,000 manakala Kategori Kumpulan Harapan menerima RM2,000, Anugerah Khas Juri-Karya Pilihan (RM1000), Anugerah Teknik/Scenografi Terbaik (RM1000) dan saguhati (RM500).

"Selain itu, Anugerah Pelakon Lelaki terbaik pula akan menerima RM300 dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (RM300) dan Anugerah Pelakon Harapan (RM200).

"Setiap pemenang dan penerima anugerah akan menerima piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan," katanya.

Katanya, persembahan teater itu akan berlangsung dari pukul 8.30 malam dan orang ramai khususnya penggemar seni teater dijemput hadir untuk menyaksikannya dengan masuk adalah percuma.

"Sebanyak lapan kumpulan teater akan menyertai pertandingan teater pada tahun ini," katanya. - UTUSAN ONLINE