Pengurus Besar Kanan Bahagian Jualan dan Pemasaran Hartanah, Tan Tee Ming berkata, kadar pembelian ketika ini bagi Menara A The Tropika adalah 70 peratus manakala Menara B akan dilancarkan sebaik sahaja kadar pembelian bagi Menara A mencecah 80 peratus.

"Kami melancarkan Menara A pada Februari tahun ini dan sejak itu, kami suda menjual semua unit kecil kami. Inisiatif HouzKEY yang kami laksanakan dengan kerjasama Maybank dijangka meningkatkan lagi kadar pembelian bagi projek The Tropika," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Berjaya Golf Resort Bhd. dan Trendcell Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Anak syarikat B-Land, Berjaya Golf Resort memeterai perjanjian pajakan dengan Trendcell yang menyaksikan Trendcell mengendalikan operasi kedai runcit Jaya dengan outlet makanan dan minuman di ruang komersial The Tropika, Bukit Jalil berukuran 23,695 kaki persegi.

Tan berkata, pengurusan Jaya Grocer menggunakan pendekatan amat strategik dan berhemah dalam mengenal pasti lokasi sesuai bagi kedainya.

"Oleh itu, kami gembira dan bangga bahawa The Tropika telah dipilih sebagai lokasi bagi kedainya akan datang yang menunjukkan The Tropika adalah lokasi perdana di Bukit Jalil," katanya.

Ketua Pegawai Kewangan Trendcell, Chong Han Keong berkata, kumpulan memilih untuk mengembangkan operasi di The Tropika selepas membuat pertimbangan sewajarnya berikutan lokasi strategiknya di Bukit Jalil.

"Kami bukan sahaja mahu menawarkan pengalaman terbaik dalam membeli-belah barang runcit kepada penghuni The Tropika tetapi juga memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar Bukit Jalil," katanya.

The Tropika adalah perumahan berpagar dan berpengawal terletak di tapak pegangan bebas seluas 2.63 hektar di Bukit Jalil dan perumahan itu terdiri 868 kediaman di empat menara dan menawarkan unit dengan empat reka bentuk berbeza.

The Tropika mempunyai akses mudah ke lebuh raya utama dan pengangkutan awam seperti perkhidmatan Bas Rapid KL dan tren Transit Aliran Ringan serta berdekatan dengan pelbagai institusi pendidikan terkemuka dan juga kemudahan sukan dan rekreasi. - BERNAMA