Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat yang melibatkan usahawan, peniaga, pembekal dan pencari etak bersama agensi kerajaan hari ini.

Beliau berkata, hasil penyelidikan pihaknya mendapati etak salai yang dipamerkan atau diberi tambah nilai akan memberikan keuntungan kepada generasi pengusaha makanan warisan itu merentasi kemajuan zaman.

PROF. DR. NOOR AZIZI ISMAIL (tengah) meneliti kualiti etak salai yang dihasilkan pengusaha di Karniv

PROF. DR. NOOR AZIZI ISMAIL (tengah) meneliti kualiti etak salai yang dihasilkan pengusaha di Karnival Etak Salai Kelantan 2019 di UMK Kampus Bachok, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Ini akan membantu meningkatkan produktiviti etak, memelihara, memulihara habitat selain mengangkat etak salai sebagai makanan warisan di peringkat negeri, negara dan dunia.

“Saya pasti dengan kerjasama daripada Jabatan Warisan Negara; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; Jabatan Kesihatan dan lain-lain, proses mendokumentasikan etak salai sebagai makanan warisan tradisi rakyat negeri ini berjaya direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Etak Salai Kelantan 2019 di UMK Kampus Bachok, dekat sini, hari ini.

Pada karnival sebanyak tujuh perisa baharu etak salai iaitu tumis, sira, barbeku, paprika, keju, masin manis, rumpai laut dan tomyam diperkenalkan kepada orang ramai.

Sebelum ini hanya terdapat satu sahaja perisa etak salai yang merupakan warisan turun temurun.

Noor Azizi berkata, karnival ini akan turut memberi penjelasan yang berlandaskan nilai akademik dan ilmiah berkaitan potensi serta prospek perniagaan makanan berkenaan.

WAN NAB WAN HAMAT, 50, menunjukkan kaedah memproses etak salai di UMK Kampus Bachok, Kelantan, hari

WAN NAB WAN HAMAT, 50, menunjukkan kaedah memproses etak salai di UMK Kampus Bachok, Kelantan, hari ini.  - UTUSAN ONLINE

“Berdasarkan kajian, makanan tradisi ini bermula sejak 1960-an dalam kalangan penduduk pinggir Sungai Kelantan dan kini menjadi perniagaan warisan dengan pelbagai perisa dan resipi.

“Kejayaan pasukan penyelidik UMK yang menerbitkan jurnal penyelidikan dan graduan ijazah tinggi berkisar etak salai adalah yang julung kali diadakan di peringkat negara dan dunia,” katanya.

Penyelidikan etak salai dalam skop globalisasi ini dilaksanakan sejak tahun 2016 dan berakhir pada November tahun ini yang membabitkan tenaga penyelidik dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Seni Warisan; Fakulti Sains Bumi; Fakulti Industri Asas Tani dan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK. - UTUSAN ONLINE