Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram menjadi destinasi pilihan persatuan bagi mengadakan acara pertama mereka pada tahun ini dalam usaha mengekalkan seni warisan turun temurun itu.

Setiausaha PWSTM, Zamzurin Ariffin Mohd. Daud berkata, dianggarkan seramai 350 ahli dari seluruh Malaysia mengambil bahagian secara percuma dalam aktiviti memikat terkukur dan merbuk yang bermula pukul 8 pagi hingga pukul 2.30 petang.

“Ini merupakan program pembukaan persatuan pada tahun ini yang menggabungkan semua kelab pemikat terkukur dan merbuk yang ada di negara ini. Bermula awal bulan ini hingga hujung September, merupakan waktu puncak bagi pemikat keluar memburu.

“Boleh dikatakan hampir setiap minggu dalam tempoh ini akan ada kelab pemikat burung negeri me­ngadakan aktiviti memikat burung. Sebagai persatuan induk, kita memberi sokongan terhadap semua aktiviti bagi meneruskan kelangsungan seni warisan turun temurun ini.

“Apabila masuk bulan Oktober, pemikat hadkan tangkapan dan mengurangkan aktiviti untuk membolehkan burung terkukur dan merbuk membiak dan bersarang bagi meningkatkan populasi. Pemikat ha­nya aktif semula sekitar Februari dan Mac bagi meneruskan aktiviti memikat burung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zamzurin cukup senang melihat perkembangan positif aktiviti memikat burung yang dilihat berkembang sekitar awal 2010 hingga 2012 dan kini persatuan berkenaan mempunyai keahlian melebihi 2,500 ahli.

Katanya, sememangnya menjadi hasrat PWSTM untuk melihatkan seni warisan terkukur dan merbuk ini tidak tenggelam dek zaman dan diturunkan kepada generasi baharu pada masa akan datang.

“Dulu orang melihat aktiviti memikat burung ini sebagai aktiviti orang kampung sahaja. Kini aktiviti ini bukan sahaja menjadi kegilaan orang di bandar malah ramai juga golongan berlatarbelakangkan kerjaya profesional turut sertai memikat burung.

“Keseronokan aktiviti ini apabila teknik memikat itu menjadi, kita akan dapat lihat burung di hutan yang disasarkan itu me­nyahut ‘panggilan’ pemikat hingga akhirnya masuk ke dalam pe­rangkap yang disediakan. Teknik memikat burung ini bukan mudah dan lebih susah daripada memikat wanita, ia memerlukan kemahiran tinggi untuk menjadi pemikat terbaik,” katanya.

Menurutnya, selain menjadi hobi pada masa hujung minggu, aktiviti itu juga boleh menjadi punca pendapatan kepada ahli persatuan yang turut menghasilkan kraf tangan seperti sangkar layang dan jebak iaitu tempat untuk meletakkan burung terkukur dan merbuk yang ditangkap.

Katanya, ada juga antara mereka membiak induk burung yang ditangkap bagi melahirkan baka terbaik dan boleh dijual pada harga mencecah RM5,000 seekor.