Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa berusia 57 tahun diserang oleh individu tidak dikenali menggunakan senjata tajam ketika ingin masuk ke dalam kereta.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Muhammad Izzudin Runggai berkata, guru sekolah itu dicederakan setelah dia enggan melepaskan beg miliknya yang cuba diragut oleh individu berkenaan.

“Suspek berkenaan cuba meragut beg mangsa namun wanita itu enggan melepaskan beg tersebut dan menyebabkan suspek bertindak mencederakan mangsa dengan senjata tajam.

“Mangsa yang mengalami cedera di dada, perut dan tangan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Izzudin berkata, setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat dan polis sedang giat memburu suspek berkenaan.

“Orang ramai yang melihat kejadian berkenaan atau mempunyai maklumat berkaitan boleh berhubung dengan polis di balai berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes iy disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa melakukan samun.-UTUSAN ONLINE