Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen yang mewakili kumpulan pendesak berkenaan berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyatakan penjelasan terlebih dahulu berhubung pelaksanaan berkenaan termasuk murid tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan.

Katanya, perkara tersebut dilihat perlu bagi memastikan pelaksanaannya jelas meskipun seni kaligrafi tersebut dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

“Kami mendesak agar kementerian mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana khat akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina.

“Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati keperluan murid-murid di SJKC dan SJKT.

“Maka, kami berpendapat sebelum kementerian memperjelaskan segala perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai, pelaksanaan ini harus ditangguhkan untuk perbincangan semula,” katanya dalam kenyataan bersama dengan 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina yang dipetik menerusi laporan Free Malaysia Today di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat bertujuan menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

Sehubungan itu, pihak kementerian akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami serta tidak membebankan murid dan guru sementara tiada pentaksiran akan dijalankan bagi aspek seni bahasa dalam pengenalan tulisan khat tersebut.

Sebelum ini, isu pengenalan tulisan khat dan Jawi ini turut mendapat bantahan dua pertubuhan Cina tersebut yang menolak langkah memperkenalkan seni kaligrafi Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bermula tahun 2020. - UTUSAN ONLINE