Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, DAP sangat jelas dalam perjuangan ideologi Malaysian Malaysia sejak dahulu lagi sehingga berjaya meraih 95 peratus sokongan padu daripada masyarakat Cina.

Kata beliau, atas sebab itu penubuhan Putra pada 8 Mei lalu sama sekali bukan ingin memecahkan undi orang Melayu sebaliknya mempertahankan hak golongan tersebut tanpa bertolak ansur.

“Orang Cina pun banyak parti, DAP, MCA, Gerakan, dan India pun banyak parti tetapi kenapa orang Cina boleh bersatu dan undi DAP. Kenapa mereka tak undi Gerakan dan MCA?

“Sebab DAP jelas dan nyata mereka perjuangkan agenda Malaysian Malaysia cauvanis mereka, buktinya mereka mempertahankan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf, menuntut dasar sama rata dan usaha untuk memansuhkan beberapa undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra Kali Pertama, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyatakan penubuhan Putra itu hanya merugikan orang Melayu dan menyifatkan ‘Melayu tak pernah belajar’, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata;

“Kalau beliau kata orang Melayu itu tak belajar, dia tak belajar apa? Tak belajar seperti DAP.

“Orang Melayu tak belajar dengan cara DAP. Saya nak beritahu perpecahan dalam kalangan orang Melayu bukan kerana wujudnya banyak parti tetapi tidak puas hati terhadap kepemimpinan daripada pelbagai parti politik,” katanya.

Minggu lalu, Abdul Hamid menerusi tulisannya di ruangan rencana Utusan Malaysia menzahirkan rasa sedih dengan kecewa dengan penubuhan Putra sambil menjangkakan apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan berulang lagi.

Kata beliau, orang Melayu tidak tahu mengambil iktibar daripada apa telah berlaku untuk mengelak daripada ia berulang, apatah lagi menjadi lebih buruk.

“Mereka juga tidak belajar daripada orang Cina, misalnya, yang membuat perkiraan untung-rugi sebelum berbuat sesuatu, tetapi lebih didorong oleh perasaan dan semangat yang tidak rasional,” katanya. - UTUSAN ONLINE