Proses pemilihan ini dibuat melalui proses pilihan raya mengikut peruntukan undang-undang dan akta serta peraturan berkaitan seperti Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Ne- geri, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Kebiasaannya, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. Pada 6 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membuat pengumuman bahawa Parlimen Malaysia akan secara rasminya dibubarkan berkuat kuasa pada hari Sabtu, 7 April 2018. Dengan pengumuman ini, maka terjawablah teka-teki tentang tarikh pembubaran yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Berikutan itu juga, tersebar begitu luas cerita dan berita, terutama sekali di media sosial tentang kedudukan dan status kerajaan selepas pembubaran Parlimen.

Dalam erti kata lain, masih ramai rakyat di negara ini kurang atau tidak mengetahui fungsi kerajaan pasca-pembubaran Parlimen sehingga tertubuhnya sebuah kerajaan baharu.

Kerajaan sementara

Sejurus Parlimen dibubarkan, fungsi sesebuah kerajaan masih berjalan seperti biasa. Perdana Menteri dan para anggota jemaah Menteri masih kekal menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti sediakala.

Sehingga tertubuhnya kerajaan baharu nanti, tugas kerajaan ketika ini adalah meneruskan perjalanan pentadbiran negara merangkumi semua hal ehwal yang berkaitan ekonomi, politik, sosial, hubungan luar negara dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ia mempunyai kuasa yang agak terhad dan tidak lagi mempunyai kuasa dalam membuat dasar awam baru seperti undang-undang baharu berikutan pembubaran Parlimen (legislatif).

Maka, kuasa yang ada hanyalah melibatkan pelaksanaan tugasan harian seperti memastikan pelaksanaan dasar-dasar awam sedia ada (eksekutif).

Pentadbiran awam

Fungsi sebuah kerajaan untuk mentadbir negara dan memberi perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas meskipun Parlimen telah dibubar dan kerajaan yang ada dilihat sebagai bersifat sementara.

Ini kerana wujudnya sistem pentadbiran awam, diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), yang merupakan jentera kerajaan untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan dasar awam berjalan dengan baik tanpa mengambil kira sama ada negara sedang berhadapan dengan proses pilihan raya atau tidak.

Prinsipnya mudah, penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa. Justeru, peranan KSN sebagai ketua pelaksana sangat penting dalam memastikan pengoperasian pentadbiran awam berlangsung dengan cekap dan efektif.

SPR dan pilihan raya

Apabila sahaja pembubaran Parlimen diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan fungsi pilihan raya akan menetapkan tarikh untuk penamaan calon, tempoh berkempen serta tarikh mengundi.

Sebenarnya, fungsi SPR bukan hanya terhad dalam pengurusan dan pengendalian pilihan raya sahaja tetapi merangkumi fungsi-fungsi prapilihan raya lain, khasnya sepertimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian VIII, Perkara 113 - 120 seperti pendaftaran pemilih, persempadanan semula kawasan pilihan raya dan membuat peraturan berkenaan pilihan raya.

Antara lain, ini semua bertujuan bagi memastikan proses dan kempen-kempen pilihan raya oleh parti-parti politik dan juga bakal-bakal calon yang akan bertanding selepas hari penamaan calon dapat berjalan dengan lancar.

Aktiviti kempen seperti ceramah politik, sebaran bendera dan poster dan sebagainya hanya akan berlangsung secara rasmi dan besar-besaran sejurus hari penamaan calon tamat.

SPR juga akan menetapkan tempoh berkempen, kebiasaannya dalam tempoh 7 – 14 hari. Selesai sahaja tempoh kempen yang diberikan, proses membuang undi akan berlangsung dan pada saat inilah negara akan menyaksikan proses pemilihan kerajaan berdasarkan kepada lunas-lunas demokrasi.

Kesimpulan

Ringkasnya, dengan terbubarnya Parlimen semalam, fungsi kerajaan masih tetap berlangsung seperti biasa. Yang tidak ada hanyalah Persidangan Parlimen dan sesi perbahasan Ahli Parlimen.

Apabila kerajaan baharu dibentuk oleh parti politik yang memenangi pilihan raya nanti, maka barulah Parlimen akan kembali aktif.

Rakyat Malaysia tidak perlu risau dan bimbang kerana sistem kerajaan dan pentadbiran awam yang ada hari ini adalah stabil dan kukuh.

Ini semua hasil daripada sistem pentadbiran kerajaan Malaysia yang tuntas melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah demokratik dengan baik sejak tahun 1957.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Sabah.