Beliau pada masa sama menyoal tahap kesediaan dari segi tenaga pengajar untuk mendedahkan murid kepada penulisan Jawi.

"Saya juga kata boleh sebagai pilihan (elektif) bagi sesiapa yang berminat. Tetapi berapa orang yang pandai menulis khat dan mengajar menulisnya?" katanya kepada Utusan Online hari ini.

Beliau yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi berpandangan, sebaik-baiknya beri pilihan untuk mempelajari satu lagi bahasa selain bahasa Inggeris.

Rafidah berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan Malaysiakini kononnya tidak setuju dengan kaedah pelaksanaan pembelajaran seni khat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah yang dijadualkan bermula tahun depan.

Ketika berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan tidak boleh memaksa semua murid untuk belajar seni khat tulisan itu.

"Apabila anda paksa semua orang untuk buat kaligrafi, saya akan jadi orang pertama yang gagal (kaligrafi). Saya cabar anda, anda akan gagal kaligrafi.

"Seperti hal lain, artisitk ialah satu bakat. Kita tak perlu bakat seperti itu dimasukkan sebagai bahagian wajib dalam kurikulum di sekolah," katanya.

Rafidah juga dilaporkan berkata, beliau telah menghantar pesanan teks kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi menyuarakan pandangannya terhadap perkara itu.

Isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Namun pada minggu lalu, Kementerian Pendidikan menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. - UTUSAN ONLINE