JASNI MD. KECHIK

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md. Kechik berkata, gabungan pertubuhan itu tidak perlu mengadakan perhimpunan berkenaan yang dianggap membuang masa.

Ini kerana, katanya, tulisan Jawi memberi gambaran perpaduan antara kaum di Malaysia yang diterajui orang Melayu.

Katanya, matlamat tulisan ini diperkenalkan adalah bagi mengisi jiwa anak-anak muda agar mengenali tamadun Islam melalui seni khat dan supaya tidak begitu prejudis terhadap agama Islam.

“Tanah Melayu sebelum kehadiran mereka (Cina, India dan kaum-kaum minoriti lain), tulisan Jawi atau khat banyak digunakan.

“Kanak-kanak generasi muda seharusnya berbangga tulisan khat yang kerap digunakan oleh pemerintah sistem beraja sejak dahulu lagi,” katanya kepada Utusan Online.

Beliau mengulas mengenai perancangan Dong Jiao Zong yang akan menganjurkan himpunan bagi membantah penambahan seni khat Jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Menurut portal mysinchew.com.my, himpunan itu akan diadakan di Ibu pejabat Dong Jiao Zong di Jalan Bukit, Kajang, dekat sini Isnin ini.

Himpunan itu akan dihadiri lebih 10 organisasi pendidikan Cina dan Tamil di negara ini.

Sementara itu,Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, tindakan Dong Jiao Zong ini menunjukkan sifat ekstrim dan rasis mereka serta tiada semangat patrotisme.

Katanya, sewajarnya pihak Dong Jiao Zong mendapatkan maklumat terperinci dengan pihak Menteri Pendidikan dan mengambil jalan meja perundingan bukan dengan cara provokatif dan melampau.

“Ia ibarat mencurah api dalam minyak yang panas. IGuru bimbang jika ia diteruskan akan menggugat keharmonian dan kestabilan kaum dengan permainan yang akan diambil kesempatan oleh juak-juak politik,” katanya.

Tambah Mohd. Azizee, isu tulisan Jawi dan khat tiada kena mengena dengan agenda Islamisasi sebaliknya ia adalah menghargai nilai estetika seni keindahan penulisan.

Katanya, tulisan Jawi dan seni khat adalah identiti keindahan bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan dan bahasa nasional.

“Langkah ini akan melebarkan lagi polarisasi kaum dan jurang perpaduan kaum semakin renggang. Bahkan, ia bertentangan dengan apa yang termaktub di dalam Penyata Razak 1956 yang mahukan bahasa Melayu sebagai medium pengantar pengajaran dan pembelajaran serta usaha memupuk perpaduan kaum melalui satu kurikulum satu sukatan pelajaran,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE