ABIM

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kementerian boleh menggunakan istilah apa sahaja istilah yang bersesuaian bagi menggantikan nama program itu asalkan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul.

Katanya, antara nama yang boleh digunakan adalah ‘Cabaran Sukan Malaysia’; ‘Cabaran Malaysia Cergas’; ‘Bulan Sukan Malaysia’ dan ‘Bulan Sukan Negara’.

“ABIM menegaskan bahawa isu yang absah dan menjadi perkara pokoknya ialah penggunaan bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat terbanyak?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong berpendapat, penggunaan nama ‘Malaysia Sports Challenge 2019 bukanlah tindakan merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, nama tersebut bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan. - UTUSAN ONLINE