Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ramuan tersebut ialah menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan bidang tugasan, meningkatkan penguasaan kemahiran dalam bidang masing-masing dan mempunyai sikap yang betul ketika menjalankan tugas.

“Saya percaya jika tiga ramuan ini dapat ditingkatkan, Bahagian Penguat Kuasa kementerian ini akan dapat meningkatkan kewibawaan dan keberkesanan dalam menjalankan tugas mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-47 kementerian itu di Kem Sri Perkasa, Mantin dekat sini hari ini.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL (depan) bergambar bersama para pegawai dan anggota penguat kuasa dalam Maj

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL (depan) bergambar bersama para pegawai dan anggota penguat kuasa dalam Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-47 KPDNHEP di Kem PLKN Sri Perkasa, Mantin di Seremban hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chien Jen; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd. Aziz dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Saifuddin Nasution berkata, pada awal penubuhan Bahagian Penguat Kuasa itu kira-kira 47 tahun lalu, ia hanya menguatkuasa dua akta iaitu Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bahagian itu kini mempunyai 11 akta di bawah undang-undang negara ini yang perlu dikuatkuasakan,” ujarnya.

Jelasnya, bermula dengan 12 orang anggota penguat kuasa pada tahun 1972, ia kini sudah mempunyai 2,294 anggota di seluruh negara.

Sempena majlis sambutan hari ini, Saifuddin Nasution telah memeriksa perbarisan kehormat anggota penguat kuasa KPDNHEP dan menyampaikan 16 jenis anugerah kecemerlangan kepada para pegawai dan anggota bahagian berkenaan. - UTUSAN ONLINE