Kedua-dua syarikat tersebut yang memfokus dalam bidang pendidikan berharap MoU yang ditandatangani itu dapat meningkatkan lagi kecerdikan intelek dan keupayaan sosial terutama dalam kalangan pelajar dan remaja di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPG, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, MoU yang ditandatangani itu bakal memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar idea, maklumat serta pandangan tentang bagaimana program tersebut boleh diaplikasi serta dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia.

“Projek yang bakal dilaksanakan kedua-dua pihak ini adalah selaras dengan inisiatif yang disaran oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang melihat Malaysia mampu berjaya jika rakyat memiliki etika pemikiran dan sistem nilai seperti penduduk di negara matahari terbit itu.

“Dr. Mahathir telah memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur (LEP) lebih 37 tahun lalu, malah kini menuju pula fasa baharu LEP 2.0 yang dilihat mampu memacu kembali kedudukan Malaysia sebagai Harimau Asia terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan,” kata Jaziri Alkaf, semalam.

Namun ujarnya, masih banyak kekurangan perlu diberi perhatian terutama dalam pembangunan insan dan kemanusiaan.

Soal pendidikan dan pembangunan kemanusiaan katanya, adalah amat penting dalam menyediakan masyarakat masa depan yang terdidik dengan nilai serta pemikiran positif dan terpuji untuk berhadapan cabaran abad ke 21 yang pelbagai rencam.

"Negara Jepun yang kita lihat hari ini sangat menekankan terhadap bidang pendidikan terutama pembangunan kemanusiaan.

"Sudah tentu ia tidak berlaku dalam sehari apatah lagi ia sudah diterapkan dalam sistem pendidikan mereka sejak ratusan tahun dahulu.

“Nilai utama diamalkan warga Jepun yang dipanggil ‘Omoiyari’iaitu konsep interaksi antara masyarakat yang memiliki nilai seperti bertimbang rasa, empati, menepati waktu, dan pembersih telah berjaya menjadikan rakyatnya mempunyai minda kelas pertama sekali gus mengangkat martabat negaranya seperti dilihat hari ini,” kata Jaziri Alkaf lagi.

Untuk rekod, program Mannerkids ini diilhamkan pada tahun 1995 di Universiti Waseda, Tokyo. Objektif utama program tersebut adalah untuk meningkatkan kecerdasan intelek, keupayaan sosial serta kecergasan fizikal dalam kalangan remaja.

Program ini diketuai oleh Hideo Tanaka, bekas Pengarah Urusan syarikat Mitsubishi Chemical.

Bagaimanapun sejak tahun 2014, program ini mula mendapat perhatian umum apabila ia telah mendapat pengiktirafan dari Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. —UTUSAN ONLINE