Beliau berkata, projek yang bernilai RM8.9 bilion itu dijangka siap sebelum Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), bakal memulakan operasi pada awal tahun 2022.

Menurutnya, terdapat 324 halangan sudah dikenalpasti di sepanjang laluan berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 191 halangan berjaya diselesaikan.

“Halangan itu merangkumi rumah, bangunan dan tempat ibadat yang perlu dipindahkan atau dirobohkan bagi membina projek berkenaan. Baki 131 halangan lagi masih dalam peringkat penyelesaian dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas taklimat berhubung projek EDTP bersama wakil rakyat yang terlibat dengan projek itu, di tapak projek Kempas Baru di sini hari ini.

EDTP merupakan projek di bawah Kementerian Pengangkutan, yang akan melalui 11 stesen termasuk Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru dan apabila siap kelak, perjalanan tren dari KL Sentral–JB Sentral dengan kelajuan 140 kilometer sejam dianggarkan mengambil masa selama tiga jam 30 minit.

Anthony berkata, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik isu halangan itu termasuk memberi saguhati kepada pihak yang terlibat dalam pemindahan atau perobohan bagi memberi laluan projek itu. - UTUSAN ONLINE