Menurut laporan Unjuran Ekonomi Malaysia: Kemas Kini Suku Pertama 2019, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar kepada Kelua­ran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas iaitu sebanyak 6.8 peratus diikuti sektor pembuatan sebanyak 5.0 peratus dalam tempoh sama.

Lantaran itu, keputusan jemaah Menteri menerima cada­ngan pelaksanaan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek itu dilihat sebagai ‘bungkalan yang betul’ dalam memantapkan sektor perkhidmatan negara.

Bagaimanapun, perkara tersebut menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff perlu diperhalusi kerajaan bagi memastikan situasi menang-menang bagi setiap pesaing dalam industri tersebut.

“Gojek merupakan syarikat gergasi teksi motosikal di Indonesia dan mereka mempunyai skala pasaran yang sangat besar berbanding negara ini. Tidak ada masalah untuk kerajaan membenarkan mereka beroperasi di sini memandangkan kita mengamalkan pasaran terbuka.

“Namun, lebih elok sekiranya Gojek hanya membuat pelaburan dan kerjasama dengan syarikat teksi motosikal tempatan. Hal ini bagi mengurangkan tekanan persaingan bagi syarikat terbabit dalam industri tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, ‘lampu hijau’ yang diberikan kerajaan terhadap cadangan pelaksanaan Gojek ini dilihat akan memberi risiko terhadap pemain industri tersebut.

Katanya, setiap syarikat yang terlibat dalam industri pengangkutan perlu bersedia dan menampilkan kelebihan serta kekurangan mereka supaya tidak tersilap langkah sekiranya Gojek mula beroperasi nanti.