Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Izmi Ismail dan pengetua sekolah itu, Halia Othman.

Ketika bertitah, Tuanku Lailatul Shahreen menyeru kepada para pelajar agar mengekalkan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam semua aspek berkaitan kehidupan.

“Apatah lagi pada masa ini, kita berada dalam era teknologi maklumat dan komunikasi yang tiada sempadannya dan sudah pasti ia memerlukan ketahanan jati diri.

“Sehubungan dengan itu, komitmen tinggi daripada warga guru sekolah juga amat ditekankan demi menjana kecemerlangan pelajar selaras dengan visi dan misi sekolah,” titah baginda.

Seterusnya Tuanku Lailatul Shahreen mengingatkan bahawa peranan ibu bapa pada masa ini begitu mencabar kerana mereka bukan sahaja menyediakan keperluan asas kepada anak-anak malah perlu membantu dalam menentukan hala tuju insan kesayangan itu.

“Oleh yang demikian, gabungan kerjasama yang erat antara pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah akan mampu mewujudkan perkongsian pintar ke arah kecemerlangan pelajar dalam segenap bidang,” titah baginda.

Pada majlis itu, Seah Jin Hong dianugerahkan sebagai tokoh pelajar dan Muhammad Asyraf Azahar pula menerima Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra - YTSP Perlis.- UTUSAN ONLINE