Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, proses pemilihan akan dilaksanakan pihaknya bersama beberapa panel penilai pemilihan Anugerah Sastera Negara yang diketuai Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Kata beliau, tiada perbezaan ketara dalam proses pencalonan, penilaian dan pemilihan Sasterawan Negara kali ini walaupun panel pemilihan diketuai Menteri Pendidikan.

“Pertama, individu itu layak dicalonkan individu, persatuan atau tokoh. Mempunyai karya-karya dalam memartabatkan budaya dan bahasa kebangsaan, sama ada melalui komersial seperti buku mahupun media kreatif seperti filem dan lain-lain,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abang Sallehuddin yang dilantik memegang jawatan tersebut Januari lalu berharap proses pemilihan Sasterawan Negara pada masa depan akan lebih terbuka dengan mengambil kira pandangan umum, terutamanya peminat kesusasteraan Melayu.

“Semua orang boleh undi calon-calon tersebut di ruang media. Kita mahu lebih sifat terbuka dan sudah tentu pelaksanaannya akan memeriahkan lagi anugerah tersohor ini.

“Langkah ini tidak boleh dilaksanakan sekarang disebabkan kekangan akta dan perlembagaan DBP,” katanya.

Pengumuman Sasterawan Negara ke-14 masih tertangguh meskipun ia sepatutnya dibuat pada 26 April lalu.

Penangguhan itu membuka spekulasi apakah sebenarnya masalah dihadapi DBP selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara dalam menobatkan Sasterawan Negara terbaharu. - UTUSAN ONLINE