Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, penempatan itu akan terus dilaksanakan hingga Mei tahun depan bagaimanapun akan dilakukan berdasarkan kekosongan dan kesesuaian penempatan.

Kata beliau, perubahan penempatan guru masih dalam persekitaran organisasi pendidikan dengan melaksanakan peranan dan fungsi pentadbiran atau Pengajaran dan Pembelajaran.

“Kementerian ingin memberi jaminan bahawa penstrukturan semula ini tidak akan mengakibatkan mana-mana guru kehilangan kerja, penurunan pangkat atau penurunan gred jawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amin berkata, Kementerian Pendidikan akan memberi pertimbangan khas untuk guru-guru yang akan bersara sebelum atau sehingga 31 Mei 2020 untuk kekal di penempatan semasa hingga ke tarikh persaraan.

“Di samping itu, kementerian turut mempertimbangkan penempatan khas bagi guru yang layak dipertimbangkan kenaikan pangkat secara time-based (khas untuk penyandang) hingga 31 Mei 2020 mengisi jawatan gred lebih tinggi tertakluk kepada kekosongan jawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE