Pengerusi Persatuan Kebaji­kan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, notis pengosongan dikeluarkan beberapa bulan lalu dengan pemaju hanya memberikan RM700 kepada lebih 20 rumah di situ sebagai wang pampasan supaya mereka keluar daripada tanah berkeluasan tiga hektar itu dan menyewa di kediaman lain.

Dakwanya, penduduk yang menyewa pula tidak menerima sebarang jaminan kerana wang pampasan diperoleh pemilik rumah, menyebabkan mereka tidak mampu menyewa rumah lain sehingga hari ini.

“Kita pelik kenapa pemaju yang berikan wang pampasan, bukannya kerajaan negeri, sekurang-kurangnya sediakanlah rumah kos rendah kepada penduduk di kampung itu.

“Dengan pasaran harga rumah di negeri ini yang melam­bung tinggi, RM700 tidak mencukupi untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu pengusiran penduduk Kampung Pokok Asam bukan perkara baharu kerana 200 penduduk di situ tujuh tahun lalu pernah diusir pemaju perumahan yang bercadang melaksanakan projek pembangunan.

Menurut Aminah, penduduk turut mendakwa seperti ditipu kerana pada awalnya kawasan itu dikatakan akan dibina tapak perkuburan tetapi bertukar dengan pembinaan perumahan ber­tingkat.