Pakar Psikologi Universiti Malaya, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, ibu bapa dan guru sepatutnya tidak segan untuk menggunakan perkataan atau istilah  sebenar alat sulit untuk menggelakkan anak-anak menjadi mangsa golongan pedofilia.

"Perlu disebut kalau alat sulit perempuan namanya apa, tak boleh sebut poen. Kita kena sebut katakan vagina, penis. Ini nasihat saya sebagai pakar psikologi.  Kita harus berterus terang.

"Kalau kita sebut poen, kalau pedofil pegang poen dia. Dia pergi mengadu, orang lain tidak faham maksud kanak-kanak tersebut yang telah menjadi mangsa pedofil," kata Dr. Mariani.

Dr. Mariani berkata demikian ketika ditemubual dalam segmen Mornink Blues bertajuk Pelaku Pedofilia Sakit Mental yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online pagi tadi.

Dr. Mariani berkata, ibu bapa dan guru juga perlu berterus terang kepada anak-anak mengenai pendidikan seksual bermula daripada tahap prasekolah lagi agar mereka tidak mudah menjadi mangsa pedofil.

Menurut beliau, pendidikan mengenai tubuh badan manusia  telah diajar sejak dari peringkat prasekolah namun ada guru yang malu untuk menerangkan mengenai alat sulit lelaki dan wanita kepada pelajar.

"Bila kita kata pendidikan seks diperingkat prasekolah dia lebih untuk memperkenalkan anggota tubuh badan manusia yang semestinya bermula daripada kepala hinggalah ke kaki.

"Tapi ada prasekolah bahagian alat sulit kadang-kala ditinggalkan, tidak diajar sebab malu nak sebut. Itu tak sepatutnya berlaku. Itulah tujuan pendidikan seks," kata Dr. Mariani.

Menurut beliau, kanak-kanak juga perlu diberitahu sentuhan yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh orang lain terhadap mereka.

Menurut Dr. Mariani, anak-anak perlu diberitahu bahawa anggota badan mereka terutama di bahagian alat sulit, dada dan pipi tidak boleh disentuh oleh orang lain.

Malah beliau turut mengingatkan ibu bapa jangan sesekali memberi ciuman kepada anak-anak di bahagian bibir.

"Tidak digalakkan sebenarnya ibu bapa mengajar anak untuk mencium di mulut. Cukuplah ciuman di pipi dan dahi.

"Kerana anak-anak akan terpengaruh dengan perbuatan tersebut dan akan melakukannya dengan orang lain. Tolong jangan kata itu anak aku, aku tahulah. Bibir ada rangsangan seksual. Elakkan," tegas Dr. Mariani.-UTUSAN ONLINE