Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MCMC berjaya kumpul 1.5 tan e-sisa mudah alih

MOHD. ALI HANAFIAH MOHD. YUNUS (depan, lima kiri) serta Pengarah Kanan Bahagian Teknologi dan Masyar
MOHD. ALI HANAFIAH MOHD. YUNUS (depan, lima kiri) serta Pengarah Kanan Bahagian Teknologi dan Masyarakat MCMC, Aisharuddin Nuruddin (depan,tengah) bergambar bersama sebahagian rakan kolaborasi yang hadir ketika Majlis Apresiasi Rakan Kolaborasi e-Sisa Mudah Alih di Putrajaya, baru-baru ini. utusan/AMIR KHALID

PUTRAJAYA 12 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan rakan kolaborasinya berjaya mengumpul lebih 1.5 tan e-sisa mudah alih sejak program e-Sisa Mudah Alih: Te­lefon Lama, Kehidupan Baharu dilancarkan pada 18 Ogos 2015.

Ketua Pegawai Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital MCMC, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus berkata, daripada jumlah itu, 23 peratus terdiri daripada telefon biasa, 11 peratus telefon pintar dan enam peratus telefon berkamera.

Selebihnya, jelas beliau, adalah aksesori telefon bimbit seperti fon telinga, bateri telefon bimbit, bank kuasa dan pengecas.

“Dianggarkan terdapat lebih 65.7 juta peranti mudah alih yang tidak digunakan atau dilupuskan secara sah di Malaysia.

“Kebanyakan peralatan itu sa­ma ada disimpan di rumah pemilik atau telah dibuang di tapak pelupusan sampah sehingga boleh menimbulkan isu-isu yang serius kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Rakan Kolaborasi e-Sisa Mudah Alih di sini, baru-baru ini.

Program e-Sisa Mudah Alih: Telefon Lama, Kehidupan Baharu merupakan inisiatif MCMC dalam memberi kesedaran tentang kepentingan pelupusan e-si­sa secara selamat dan mesra alam dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar serta bahaya yang disebabkan oleh sisa elektronik.

Melalui program itu, rakan kolaborasi bekerjasama dari segi menyediakan ruang untuk kotak pengumpulan yang disediakan MCMC di premis masing-masing.

Ketika peringkat awal pelaksanaannya, program itu disokong oleh enam rakan kolaborasi dan bilangannya kini meningkat kepada 25 rakan kolaborasi.

Pihak-pihak yang bekerjasama menjayakan inisiatif itu terdiri daripada pelbagai kategori seper­ti industri telekomunikasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi, sekolah, syarikat swasta dan agensi media.

Hasil kerjasama pelbagai pihak itu, kini terdapat lebih 170 buah kotak pengumpulan di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai membuang perkakas atau peranti elektronik yang tidak lagi digunakan.

Menurut Mohd. Ali Hanafiah, statistik daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM QAS) menunjukkan terdapat kira-kira 65.7 juta unit telefon bimbit di pasaran antara tahun 2009 dan 2014 berdasarkan jumlah label pensijilan yang dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengeluar telefon bimbit.

Bilangan telefon bimbit itu kini boleh dianggap sebagai e-sisa kerana mengikut kajian Agensi Perlindungan Alam Amerika Syarikat, jangka hayat bagi seunit telefon bimbit adalah 18 hingga 24 bulan.

Angka itu belum lagi termasuk peranti-peranti elektronik mudah alih yang tidak mendapat perakuan daripada SIRIM QAS.

Semakin banyak e-sisa dilonggokkan di tapak pelupusan sampah atau tidak diuruskan dengan sempurna, semakin ba­nyak bahan bertoksik terlepas ke alam sekitar terutama air bawah tanah yang kemudiannya boleh menjejaskan kesihatan manusia.

“Dari sudut lain, lebih 90 peratus daripada bahan yang digunakan dalam peranti mudah alih dan aksesori boleh diguna semula. Melalui program kitar semula, pelbagai logam berharga seperti aluminium, emas dan tembaga dapat diekstrak daripada e-sisa mudah alih, sekali gus mengurangkan aktiviti perlombongan.

“MCMC berharap agar lebih banyak pihak berminat untuk menyertai inisiatif ini sebagai rakan kolaborasi dalam usaha mening­katkan kesedaran tentang pen­tingnya memelihara alam sekitar melalui aktiviti kitar semula serta pelupusan e-sisa mudah alih de­ngan selamat,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain