Dia yang kini dalam pengajian tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah setakat ini telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM25,000 namun masih memerlukan kira-kira RM30,000 sebelum pembedahan yang dijangka dijalankan pada penghujung Jun.

“Keseluruhannya saya memerlukan RM55,000 untuk pembedahan ini.

“Kebanyakan sumbangan berjaya dikumpul hasil ihsan rakan-rakan, pensyarah dan keluarga. Kempen kutipan dana telah dimulakan oleh rakan-rakan, khususnya dari Persatuan Mahasiswa Sejarah (Permas) UPSI. Ada juga rakan yang buat jualan zine untuk menampung kos ini selain kutipan dana melalui aplikasi KitaFund.

“Pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) juga ada menyumbang tetapi masih banyak yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

KEADAAN kaki Muhammad Hisyam Abdul Halim sewaktu menjalani pembedahan pertama. - UTUSAN ONLINE

Muhammad Hisyam merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik. Bapanya seorang pesara polis manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

Kakinya cedera ketika terlibat dengan kemalangan setahun lalu apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas setelah dihimpit kenderaan lain di Subang Jaya.

Walaupun pergerakannya terbatas akibat kecederaan tersebut, Muhammad Hisyam terus aktif dalam kampus. Selain terus cemerlang dalam akademik, dia turut aktif dalam pertandingan debat serta terpilih sebagai Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM) UPSI untuk sesi 2018/2019.

“Saya perlu jalani pembedahan ini untuk memastikan kaki saya pulih sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Pembedahan pertama telah dijalankan untuk memastikan kaki saya tidak dipotong akibat salur darah yang rosak. Setakat ini saya masih boleh memandu kereta tetapi terpaksa berjalan menggunakan tongkat untuk memastikan keadaan kaki tidak semakin parah,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Rakyat 2205 6237 8847 atas nama Muhammad Hisyam Abdul Halem. - UTUSAN ONLINE