Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas berkata, perkara yang melibatkan hal pengurusan tertinggi sepatutnya diuruskan antara kementerian dan syarikat terlibat, tanpa perlu melibatkan pelajar dan guru.

“Jangan guna pelajar untuk menguruskan hal antara Kementerian Pendidikan dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications), kita perlu ikut peraturan dan undang-undang, ada perjanjian.. Sabar.

“Tidak lama lagi kementerian akan buka tender, cubalah masuk, mungkin terpilih lagi jika bersesuaian dengan terma baharu,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin mengenai ada pihak mahu membuat rakaman video menggunakan pelajar sekolah untuk meraih simpati berikutan perkhidmatan internet 1BestariNet ditamatkan.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai pihak boleh memberikan pendapat dan pandangan namun tidak perlu mengheret pelajar sekolah dalam perkara berkaitan pengurusan.

“Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan guru-guru boleh beri pandangan mereka tetapi jangan mempergunakan mereka (pelajar) kerana kita tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE