Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata guru mempunyai tanggungjawab mendidik pelajar dalam usaha merealisasikan matlamat pendidikan negara.

"Kita meminta ibu bapa menghormati sekolah sebagai satu kawasan mulia untuk guru-guru mendidik anak-anak mereka.

"Memberi gambaran tidak benar atau memberi gambaran separuh benar kepada masyarakat terhadap isu berkaitan pendidikan oleh ibu bapa adalah dikesalkan," katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ismail Yusop mengenai pendirian Kementerian Pendidikan terhadap segelintir ibu bapa yang menceroboh masuk ke kawasan sekolah dan menularkan kejadian itu di media sosial.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan seorang guru diserang dan dimarahi dua lelaki dalam kawasan sekolah di pantai timur akibat salah faham mengenai dakwaan mengeluarkan perkataan tidak enak terhadap isteri seorang daripada lelaki terbabit. - BERNAMA