Gabenor Kiwanis, Ivan Oh berkata, program dianjurkan yang memasuki tahun ketiga itu meraikan kanak-kanak berkenaan dengan menayangkan filem terbaharu Disney iaitu Dumbo.

Menurutnya, penganjuran filem tersebut dibuat serentak di semua cawangan MBO Cinemas seluruh negara dengan kerjasama Kiwanis Malaysia.

“Kerjasama dengan MBO bukan sahaja memberi sorakan dan senyuman di wajah kanak-kanak ini tetapi membantu meningkatkan daya imaginasi mereka selain dapat membawa pulang nilai-nilai bermakna seperti saling menerima perbezaan serta berusaha mencapai kejayaan.

“Filem Dumbo yang ditayangkan ini menyelitkan banyak nilai positif dan ini membantu memupuk keyakinan diri dalam kalangan mereka untuk mencapai hasrat hidup dan berharap ia dapat menjadi penyuntik semangat kepada golongan itu,” katanya dalam majlis pelancaran tersebut yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei di cawangan terbaharu MBO Cinemas, Atria Shopping Gallery dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Pengurus Besar Pemasaran dan Penjualan MBO Cinemas, Jamie Tiong berkata, penganjuran program itu merupakan satu kejayaan besar buat syarikatnya.

“Program amal ini memerlukan penyelarasan dan perancangan menyeluruh dan kami berbangga kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Kiwanis Malaysia dalam menjayakan acara tersebut,” ujarnya.

Tambah Jamie, dia berasa terharu apabila mengetahui terdapat beberapa kanak-kanak itu tidak pernah menonton wayang dan hari tersebut merupakan pengalaman pertama buat mereka.

Selain cawangan MBO Cinemas di Kuala Lumpur antara cawangan lain yang turut serta ialah Petaling, Klang, Ipoh, Skudai, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Teluk Intan, Taiping, Kuantan, Kulim, Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu. -UTUSAN ONLINE