Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, dengan sebab itu pelaksanaan Jawi di sekolah hanya akan dipersetujui Dong Zong jika agenda tersembunyi mereka turut dilibatkan.

Katanya, kebimbangan ia sebagai usaha Islamisasi itu hanyalah alasan mereka, nampaknya usaha itu adalah terancang dan bukannya kebetulan.

“Mereka bukan hanya membantah tulisan Jawi dan khat tetapi pada akhirnya matlamat adalah mahu menumpang supaya kaligrafi Cina turut dibenarkan diajar di sekolah,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dong Zong yang berterusan membantah apa juga keputusan kerajaan melibatkan hal ehwal orang Melayu termasuklah pelaksanaan Sekolah Wawasan untuk integrasi kaum.

Malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan mesej tegas apabila menyifatkan pertubuhan itu sebagai rasis, Selasa lalu.

Dalam pada itu, Mahmood Zuhdi berkata, sikap berlembut orang Melayu antara punca golongan sebegini semakin lantang dan berani mempertikai serta membantah perkara yang sudah sekian lama diterima dalam masyarakat Malaysia.

Tambahnya, reaksi orang Melayu dalam hal itu hanya lebih banyak bercakap dan tidak ada tindakan yang akhirnya menyebabkan perkelahian sesama sendiri.

“Kita kena berubah. Kurangkan budaya ‘react’ dari semasa ke semasa sebaliknya tambahkan budaya bertindak. Jika tidak Jawi akan berkubur.

“Kalau nak hidup dan kekalkan Jawi mesti ada persekitaran yang menyokongnya. Sesuatu ilmu itu tidak boleh hidup tanpa persekitaran yang kondusif,” jelasnya.

Mahmood Zuhdi menambah, bagi memantapkan tulisan Jawi dan khat ia memerlukan ‘political will’ dan keberanian yang tinggi.

“Sayangnya dalam banyak hal orang kita terlalu ‘acomodatif’. Hinggakan sanggup memberi sesuatu yang berharga asal beroleh pulangan yang dihajati walaupun harganya murah,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE