Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu dicapai hasil Perbincangan Meja Bulat Presiden China-Malaysia di CAECW yang disertai sebanyak 11 universiti dari China dan sembilan universiti dari Malaysia.

"Perbincangan meja bulat itu adalah platform terbaik bagi kedua-dua negara mengenali dan memahami IPT Malaysia dan China dan membuka ruang kerjasama yang baharu,"katanya.

KPM berkata delegasi Malaysia yang diketuai Pengarah Bahagian Education Malaysia, KPM Prof Dr Rahmah Ahmad H. Osman menyertai CAECW untuk meraikan hubungan diplomatik Malaysia dan China yang memasuki tahun ke-45. Turut serta ialah beberapa naib canselor dan timbalan naib canselor IPT tempatan.

Hasil program itu, jawatankuasa CAECW telah memilih beberapa program untuk dilaksana termasuk Built Environment Summer Camp Project melibatkan Universiti Islam Antarabangsa dan Multiple Intelligences Preschool Childhood Educator melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), katanya.

Rahmah turut mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Pertukaran dan Kerjasama Antarabangsa Kementerian Pendidikan, Li Xudong, Pengarah Urusan CAECW, Wang Rui, dan mempromosikan pendidikan Malaysia secara menyeluruh bahawa sektor pendidikan Malaysia adalah pada tahap kualiti yang tertinggi, katanya.

Kementerian itu berkata syarikat gergasi seperti Alibaba turut dialu-alukan untuk bekerjasama secara strategik dengan Malaysia dalam menawarkan latihan dan kepakaran industri kepada pelajar Malaysia.

KPM berkata Malaysia juga melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Pusat Kebudayaan Malaysia di Guizhou Minzu University agar dapat menyediakan maklumat berkaitan kebudayaan dan perkembangan Malaysia kepada masyarakat Guizhou.-BERNAMA