Sebelum ini karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said iaitu ‘Sungai Mengalir Lesu’ dan ‘Salina’ pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin pada 1985.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Kementerian Pendidikan mengorak langkah penting untuk memperkasa sastera dan bidang perbukuan negara apabila melancarkan 10 karya terbaik Sasterawan Negara di Beijing International Book Fair 2019 di sini hari ini.

Lebih menarik semua buku itu telah diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan diterbitkan dengan kerjasama erat antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Guangxi Normal University Press.

Sepuluh judul yang terlibat adalah Srengenge (Shahnon Ahmad), Warkah Eropah ( A. Samad Said), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Tivi (Shahnon Ahmad), Naratif Ogonshoto (Anwar Ridhwan), Salasilah (Zurinah Hassan), Postponing Truth and Other Poems (Baha Zain), Rimba Harapan (Keris Mas), Juara (S. Othman Kelantan) dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan).

“Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama seperti ini dalam usaha berterusan untuk memartabatkan karya-karya penting Sasterawan Negara,” katanya kepada Utusan Online.

Pada majlis yang sama, DBP turut melancarkan novel Luka Nering karya tokoh Sasterawan Negeri Perak, Dr. Malim Ghozali Pk yang diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin bertajuk Tao Wang Jinshenbing Yuan (Flee to a mental hospital atau Lari ke hospital sakit otak).

Versi bahasa Mandarin diterbitkan oleh Lujiang Publishing House dan diterjemahkan oleh Libby Zeng seorang penterjemah yang berpengalaman luas dalam penterjemahan bahasa Inggeris-Mandarin.

Malim ketika ditemui Utusan menzahirkan rasa gembira kerana Luka Nering yang pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Tree of Sorrow berjaya mengikut jejak Salina dan Sungai Mengalir Lesu karya Datuk A. Samad Said yang pernah dipasarkan di China pada 1983.

Menurutnya, Luka Nering bakal diterjemahkan ke dalam bahasa Tagalog, Arab dan Turki tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE