Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, mangsa, Suria Awi, 46, dari Kuala Ibai di sini dikatakan terjatuh ketika sedang berhenti rehat di kawasan rekreasi tersebut sebelum menyambung perjalanan mendaki Gunung Sarut bersama 16 rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan rakan-rakannya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Langkap.

“Pihak bomba membawa turun mayat mangsa dengan menggunakan pengusung ke Lata Payung.

“Kita mengambil masa kira-kira sejam 15 minit untuk membawa turun mayat mangsa daripada lokasi kejadian ekoran keadaan laluan yang berbukit dan curam,” katanya di sini hari ini.

Mustafa berkata, mayat mangsa tiba di Lata Payung kira-kira pukul 3.30 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota bersama satu jentera. - UTUSAN ONLINE