KEADAAN tingkat satu sebuah rumah kedai yang terbakar di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Gombak, Selangor hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.53 pagi.

“Sebanyak 13 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan dan Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, kita dapati berlaku kebakaran di tingkat satu rumah kedai berkenaan, namun api berjaya dikawal pada pukul 5.34 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan rumah kongsi terbabit musnah sepenuhnya, bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Tambahnya, punca kebakaran masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE