Dalam kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan premis terbabit pukul 5.20 pagi, kelihatan seorang suspek yang memakai baju sejuk berpenutup kepala telah mencurahkan bahan api di pintu kaca.

Jurucakap polis berkata, lelaki itu kemudian bertindak menyalakan pemetik api dan menyebabkan berlaku sedikit letupan yang dipercayai turut mengenai suspek.

Katanya, suspek seterusnya melarikan diri menggunakan kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

“Hasil temu bual, pemilik premis memaklumkan mempunyai masalah dengan seorang pekerjanya yang telah diberhentikan ekoran isu disiplin baru-baru ini.

“Pemilik premis menyatakan tiada mempunyai hutang tidak berbayar atau mana-mana agensi tidak berdaftar,” katanya di sini.

Tambah jurucakap itu, kebakaran telah berjaya dipadam pihak bomba kira-kira 15 minit selepas pasukan tersebut datang pada pukul 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api. - UTUSAN ONLINE