Mangsa, Mohamad Farish Aidil Mohd. Zamri, 15, yang menunggang motosikal jenis Comel 110, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) kira-kira pukul 6.15 pagi ini ketika menerima rawatan lanjut selepas di rujuk dari Hospital Gua Musang.

Bagaimanapun, pemandu pikap jenis Toyota Hilux itu, Lai Seng Khuan, 63, berasal dari Ipoh, Perak tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 2.40 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Kampung Kerinting ke Taman Tropika.

Katanya, sebaik tiba di kawasan selekoh jalan itu, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbalik.

“Mangsa dipercayai terjatuh dan bergelongsor di atas jalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh pikap tersebut.

“Remaja terbabit berasal dari Taman Jaya Baru, Changloon, Kedah mengalami kecederaan teruk di kepala dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di HKK,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Taufik, mayat mangsa dibedah siasat di HKK pada pukul 8.30 pagi ini sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Katanya, mengikut hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu dan tidak memakai topi kaledar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE