Ketika kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun dikatakan sedang tidur di ruang tamu.

Insiden itu turut menyebabkan sebuah lagi rumah separuh kekal yang terletak bersebelahan musnah keseluruhannya.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah bilik di rumah mangsa, bagaimanapun pemuda itu dikatakan sempat menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap ketika api marak sebelum meminta pertolongan jiran.

Komander Operasi Jabatan bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Marang, Mohd. Salim Mat Seman berkata, bomba mengerahkan seramai 16 anggota dari balai Marang dan Kuala Terengganu ke lokasi apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian kira-kira 70 peratus rumah kedua telah terbakar dan keadaan itu disebabkan kedudukan rumah yang berhampiran di samping struktur binaan daripada kayu yang menyebabkan api merebak dengan pantas.

"Bagaimanapun tiada kecederaan jiwa dilaporkan dan punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN ONLINE