KEADAAN treler kontena yang remuk selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 411.1 Lembah Beringin menghala Bukit Tagar, Selangor hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu treler kontena dipandu mangsa dan dua buah lori.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan ayam yang berada di lorong perlahan.

“Disebabkan itu juga menyebabkan lori membawa muatan ayam itu melanggar sebuah lagi lori sebelum terbabas di lorong kanan.

“Berikutan kejadian menyebabkan mangsa tersepit dan parah manakala dua lagi pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Bak Phai, aliran trafik di lokasi kejadian perlahan memandangkan hanya lorong perlahan dibuka untuk laluan.

“Kerja-kerja pengalihan dan pembersihan masih dijalankan di lokasi kejadian,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE