Difahamkan mangsa yang baru dua minggu bekerja dengan syarikat pembalakan terbabit, dikenali sebagai Kenek Antok.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, mangsa bersama kumpulan sembilan lagi pekerja masuk ke hutan, untuk melakukan kerja-kerja penandaan kayu pada pukul 6 pagi semalam.

Katanya, kira-kira pukul 12 tengah hari, semua pekerja telah kembali semula ke kem, kecuali mangsa.

“Pada pukul 3 petang gerakan mencari telah dijalankan kumpulan rakan sekerja mangsa di kawasan hutan tersebut, dan telah menjumpai sebuah beg dipercayai milik pekerja berkenaan serta kesan darah di kawasan berhampiran.

“Adik mangsa kemudian membuat laporan kehilangan abangnya di Balai Bomba dan Penyelamat Kapit pada pukul 6.40 petang,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan hari ini berikutan ketika menerima laporan semalam, hari sudah gelap dan perjalanan dari pekan Kapit ke kem syarikat pembalakan itu dengan menaiki bot mengambil masa empat jam, manakala perjalanan dari kem ke lokasi kejadian memakan masa enam jam. - BERNAMA