Pegawai Sumber Manusia Mutiara Kayamas Sdn. Bhd., Nur Nadiah Wahab berkata, sebanyak 16 mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya dan seorang daripadanya meninggal dunia selepas menerima rawatan.

Beliau berkata, mangsa yang selebih dimasukkan ke Hospital Serdang, Banting dan Kajang untuk menerima rawatan lanjut

“Pihak majikan sedang menghulurkan bantuan diperlukan pekerja yang terselamat dalam kemalangan ini. Buat masa ini biarkan mereka berehat terlebih dahulu.

“Selain itu, pihak syarikat juga sedang melakukan proses sepatutnya untuk penghantaran pulang mayat mangsa ke negara masing-masing,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya di sini mendapati, sebanyak tujuh mangsa telah dibenarkan keluar dan dibawa menaiki tiga kenderaan oleh pihak syarikat.

Difahamkan, mereka dibawa ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan usaha untuk menemubual mangsa bagi mendapatkan gambaran mengenai kemalangan itu tidak berhasil kerana mereka dikawal ketat oleh wakil syarikat.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 11 individu termasuk dua wanita maut selepas bas pekerja dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASKargo, Sepang, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.10 malam itu, lapan penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi penumpang warga asing turut disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit yang membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASKargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE