Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu memulakan pendakian di kawasan tersebut bersama 12 pendaki lain dan 11 pemandu arah sejak kelmarin.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Khairul Jamil berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mangsa pada pukul 10.29 pagi ini.

Katanya, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dihantar ke tempat kejadian dengan dibantu enam anggota lagi dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Berdasarkan maklumat daripada saksi, lokasi mangsa berada mengambil masa dua hari untuk tiba di sana. Ketika ini mangsa dilaporkan pengsan dengan kecederaan parah di kepala.

“Lokasi pendakian itu merupakan kawasan hutan tebal dan mangsa juga dikatakan berada di puncak gunung. Kita sedang membuat persiapan untuk masuk ke kawasan tersebut untuk mengambil mangsa dengan meminta bantuan daripada Unit Udara.

“Bagaimanapun, penilaian akan dilakukan terlebih dahulu dan jika cuaca tidak mengizinkan, kita terpaksa menggunakan jalan darat untuk membawa mangsa keluar,” katanya. - UTUSAN ONLINE