Lelaki berkenaan, Lee Khian Seng, 60, dibawa keluar dari hutan tebal itu menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 8.30 pagi.

Khian Seng yang melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan bersama 12 rakan pendaki dan 11 pemandu arah sejak Jumaat lalu telah terjatuh pada ketinggian enam meter.

Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala kemudiannya tidak sedarkan diri sehingga dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hari ini.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Khairul Jamil berkata, helikopter dari Unit Udara JBPM bersama tujuh anggota diterbangkan ke kawasan hutan tebal itu untuk kerja-kerja menyelamat pada pukul 8.30 pagi.

Katanya, mangsa dibawa keluar dari puncak gunung dan dinaikkan ke dalam helikopter dengan menggunakan teknik ‘winching’ dan tiba di padang Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra setengah jam kemudian.

“Semalam kita telah menurunkan empat anggota daripada Multi Skill Team (Musteam) di mana mereka perlu berjalan selama lima jam untuk sampai ke lokasi mangsa berada.

“Operasi menyelamat yang disambung hari ini berjaya membawa keluar mangsa namun dia disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN ONLINE