Dalam kejadian ‪pukul 10.15‬ malam itu berlaku ketika mangsa Che Khalid Che Kub, 48, dalam perjalanan mengambil anak bongsunya Che Fahim Danial Naufal,12, pulang dari tuisyen.

Che Khalid yang menunggang motosikal meninggal dunia pada ‪pukul 12.30‬ tengah malam tadibketika sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Che Fahim Danial menghembuskan nafasnya yang terakhir pada ‪pukul 10.30‬ pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ab Rashid Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira telah melanggar motosikal mangsa dari arah belakang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa memberi isyarat ke kanan dan memperlahankan motosikalnya.

“Kereta terbabit berada di belakang mangsa cuba brek tetapi disebabkan jarak yang dekat, pemandu kereta terbabit terlanggar bahagian belakang motosikal itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, isteri mangsa Nor Liza Mat Dalip, 43, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk bertemu dengan suami dan anak bongsunya itu di sebuah kedai makan.

Katanya, mereka telah berjanji bertemu di sebuah kedai makan untuk makan malam bersama selepas Che Fahim Danial Naufal selesai tuisyen di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 1.

“Saya rasa tidak sedap hati apabila suami saya tidak menghantar mesej untuk menempah makanan. Lagi berdebar apabila di hadapan saya ada kemalangan membabitkan sebuah motosikal seperti motosikal suami saya,” katanya mempunyai tiga anak.

Menurutnya, dia terus turun dari kereta bersama anak sulungnya, Fatin Ain Akilah, 23, menghampiri lokasi kemalangan itu dan perasannya luluh apabila melihat anak dan suaminya terbaring di atas jalan.

Dua beranak dari Kampung Kok Pasir itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tok Selehor pada ‪pukul 2.45‬ petang ini dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. - UTUSAN ONLINE