Empat daripada pelajar terbabit telah dirujuk ke Hospital Sibu di mana dua daripada mereka yang telah dikenalpasti ialah Steward Girry Anak Belunsin, 13 yang patah kaki kiri dan luka di kepala dan Agnes Siman Anak Selumin berusia 14 tahun patah di bahagian pinggang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Suprintenden Alexson Naga Chabu berkata, butiran mangsa lain termasuk pemandu van belum diperolehi kerana masing-masing telah pulang ke rumah selepas dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Selangau.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada pemandu serta penumpang lori treler dan kereta Proton Preve’ turut mengalami kecederaan atau sebaliknya.

Katanya, kemalangan tersebut berlaku apabila pemandu van yang dinaiki pelajar sekolah itu yang datang dari arah Bintulu memperlahankan kenderaan untuk memasuki sebuah simpang telah dilanggar dari arah belakang oleh lori treler.

“Akibat perlanggaran itu, van tersebut telah terseret ke hadapan dan memasuki laluan yang bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Preve’ yang datang dari arah bertentangan (Sibu),” katanya melalui aplikasi Whatsapp kepada BERNAMA.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian berlaku di laluan lurus semasa cuaca cerah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA