Kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, tiga orang wanita warga Indonesia serta seorang warga tempatan yang dipercayai pemandu bas pekerja berkenaan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, ketika kejadian, bas tersebut dipercayai membawa 43 penumpang dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan sedang dalam perjalanan menuju ke MASkargo.

Jelasnya, kesemua pekerja yang dipercayai bekerja secara kontrak di syarikat berkenaan sepatutnya masuk bekerja mengikut syif pukul 12 tengah malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, sebanyak 12 orang warga Bangladesh, Nepal (14), Indonesia (14) dan empat warga tempatan berada di dalam bas tersebut.

“Ketika dalam perjalanan, bas tersebut dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar. Polis bagaimanapun masih menyiasat punca kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, siasatan di lokasi kejadian mendapati, identiti pemandu bas berkenaan tidak dapat dikenal pasti ekoran mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Jelasnya, mangsa yang maut mengalami cedera parah pada anggota badan dan mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat manakala, 33 penumpang yang selamat dihantar ke Hospital Putrajaya, Hospital Kajang dan Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE