Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, kenderaan yang terlibat adalah Toyota Hilux, Hyundai dan empat motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kejadian berlaku ketika lelaki warga Yaman berusia 21 tahun yang memandu kereta Hyundai dari arah Ampang menuju Danau Kota berlanggar dengan Toyota Hilux dari arah pusat bandar ke Ampang.

Katanya, bagaimanapun, kedua-dua kenderaan terbabit tidak berhenti ketika tiba di persimpangan lampu isyarat.

“Akibat perlanggaran itu, kereta Hyundai tersebut berpusing melanggar pembahagi jalan menakala pacuan empat roda terbabit terbabit melanggar empat motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit

“Kedua-kedua pemandu kereta terbabit mendakwa sewaktu kejadian lampu isyarat arah laluan mereka menunjukan warna hijau,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, menurut Zulkifli, pemandu kereta Hyundai tersebut parah di kepala dan paru-paru serta dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Jelas beliau, kejadian turut menyebabkan dua penunggang motosikal cedera manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda dan dua lagi penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian dilakukan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN ONLINE