Portal Utusan Borneo melaporkan, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 pagi apabila kereta dipandu mangsa, Mohamad Sany Yusop, 40, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.

Pemangku Ketua Bomba Zon 4 Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.27 pagi dan sebanyak tujuh anggota dari Balai Bomba Sg. Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan dipandu mangsa melalui kawasan tersebut hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan dan sebatang pokok sehingga mengakibatkan kenderaan itu terputus dua.

“Akibat itu, bahagian hadapan kereta tersebut tersangkut pada penghadang tepi jalan dan bahagian belakang jatuh ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa dikeluarkan orang ramai sebelum bomba tiba dan dibawa ambulans ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.-UTUSAN ONLINE