Dalam serbuan yang dilakukan oleh JKDM Miri kelmarin, sebanyak 127,508 batang rokok dan 1,819.44 liter minuman keras pelbagai jenama yang bernilai RM33,1111 dirampas.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kesemua minuman keras dan rokok tersebut dipercayai belum lulus kastam.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati, jumlah cukai membabitkan kesemua barangan itu adalah RM126,079.79.

“Kita telah menahan dua individu di lokasi tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 di mana jika disabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar.

“Selain itu, sekiranya individu itu didapati bersalah mereka juga boleh dikenakan tindakan dengan membayar tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sharifah Halimah, orang awam diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras dan mercun di kawasan mereka.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian bebas tol kami di 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM, Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE