Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, identiti kesemua suspek telah dikenal pasti.

“Kesemua individu terbabit yang juga warga tempatan akan ditahan dalam tempoh terdekat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.

Ismadi memberitahu, sejak Januari lalu sehingga semalam, pihaknya sudah menahan 310 individu termasuk 107 warga asing terdiri daripada penjaga dan pemain berusia antara 20-an hingga 50-an di sekitar daerah ini.


“Sebanyak 167 serbuan dilakukan sepanjang tempoh itu dengan sebahagian kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jumlah rampasan pula membabitkan 880 barang kes termasuk komputer riba, telefon bimbit dan tablet selain wang tunai berjumlah RM20,942 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM70,000,” ujarnya.

Tambah Ismadi, sindiket judi dalam talian kini dikesan menggunakan telefon pintar atau tablet untuk bermain judi di luar premis terbuka seperti restoran selain di tingkat atas bangunan rumah kedai.


“Sindiket judi dalam talian dipercayai cuba memulakan semula aktiviti mereka di daerah ini, jika tidak ada pemantauan berterusan dikhuatiri mereka kembali aktif.


“Kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat adalah amat dialu-alukan, “katanya. - UTUSAN ONLINE