Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, tindakan penahanan kerja maksimum selama dua bulan itu diambil mengikut Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertip) 1993.

Beliau berkata, penahanan kerja itu akan bermula selepas 24 penguat kuasa terbabit tamat tempoh remannya pada 23 April ini dan tindakan berkenaan diambil bagi mengelak proses siasatan membabitkan kes itu terganggu.

“Selepas 24 penguat kuasa ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereka akan ditahan kerja selama dua bulan mengikut Peraturan 43. Dalam tempoh penahanan kerja gaji mereka tetap dibayar.

“Ini tindakan yang kita ambil selepas mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM nanti dan jika ada dalam kalangan mereka akan dipanggil ke mahkamah kita akan tengok pula peraturan-peraturan lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, sebanyak 30 lelaki termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang direman tujuh hari sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi pemandu ‘lori kebal’ yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri berkenaan.

Menurut sumber SPRM, 24 penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Selain itu, Shaharuddin turut memberi amaran tegas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan agensi penguatkuasaan lain untuk melakukan siasatan terhadap anggotanya.

“Saya ingin beri amaran kepada pegawai dan penguat kuasa bahawa isu integriti tiada tolak ansur dan sekiranya ditangkap atau disiasat oleh SPRM, JPJ tidak akan pertahan. Saya mahu jabatan ini bersih rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu katanya, penahanan 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang itu tidak menjejaskan atau melumpuhkan operasi di negeri berkenaan serta sama sekali tidak mencerminkan imej sebenar JPJ yang terdiri daripada 8,000 anggota secara keseluruhan.

“Saya juga telah mengarahkan JPJ di negeri-negeri zon utara iaitu Perak dan Kedah untuk membantu kelancaran operasi JPJ di Pulau Pinang. JPJ Pulau Pinang mempunyai sebanyak 457 anggota dan pegawai di mana 139 terdiri daripada Bahagian Penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, masalah yang berlaku di Pulau Pinang sama sekali tidak akan menjejaskan sasaran hasil kutipan JPJ pada tahun ini iaitu sebanyak RM4.3 bilion dan sehingga Mac lalu jumlah hasil yang telah berjaya dikutip ialah sebanyak RM1.04 bilion. - UTUSAN ONLINE