Namun begitu, pujukan Tun Abdul Razak sebagai Pengerusi Majlis Gerakan Negara (Ma­geran) yang menjemputnya kembali bertugas sebagai Timbalan Pengerusi Mageran tidak dapat ditolak atas faktor ke­selamatan negara walaupun terpaksa membelakangkan ke­sihatan dirinya sendiri.

Ketika itu kuasa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman kian terhakis daripada arus perdana dan teraju sebenar negara beralih ke tangan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Ismail yang kembali memegang jawatan lamanya sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Ooi Kee Beng, Fellow di Institut Asia Tenggara (ISEAS) Singapura yang menyelaras Program Pengajian Malaysia menulis biografi Ismail The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time (2006) menyatakan, jemputan awal yang diminta Tun Razak daripada Ismail bagi membantu memulihkan negara berlarutan selama lebih empat tahun apabila hubungan kedua pe­mimpin berkaliber ini seterusnya bertukar posisi jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

MUKA depan Akhbar Utusan Melayu bertajuk “Negara berkabung” yang merakamkan saat-saat pengebumian Al
MUKA depan Akhbar Utusan Melayu bertajuk “Negara berkabung” yang merakamkan saat-saat pengebumian Allahyarham Tun Dr. Ismail di Makam Pahlawan di Masjid Negara yang disiarkan pada 4 Ogos 1973. Berita kematian Pemangku Perdana Menteri tersebut dalam usia 57 tahun pada jam 10 malam 2 Ogos 1973 diterima dengan rasa terkejut oleh semua rakyat di seluruh negara.

“Selama lebih empat tahun Razak dan Ismail saling melengkapi peranan masing-masing dengan lancar sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sama-sama berusaha membina landasan sebuah Malaysia baharu yang mudah-mudahan tidak akan me­nyaksikan berulangnya ke­­­ganasan antara kaum. Sa­yangnya mereka sama-sama pergi tanpa diduga ketika masih diperlukan negara” (Ooi Kee Beng 2006: 4).

Di sebalik ketokohan mereka berdua sebagai pemimpin terhebat negara, sebenarnya Razak juga disahkan menghidap leukemia pada akhir 1969. Ismail pula diketahui menghadapi masalah injap jantung yang memerlukan pembedahan dan kanser leher.

Rahsia itu hanya diketahui oleh beliau (Razak) sendiri dan Ismail serta kakitangan perubatan yang terlibat dan dua tiga sahabat peribadi Ismail yang semuanya diminta bersumpah agar tidak akan membocorkan kepada sesiapa.

Keadaan berselindung itu memberikan impak yang besar berhubung penggubalan dasar negara kerana kedua-dua pemimpin ini membincangkan setiap rancangan dengan teliti sambil mengintai kemungkinan Ismail dipertaruhkan untuk menjadi Perdana Menteri kelak.

Para doktor pula telah me­ramalkan dan memberitahu Razak bahawa hayatnya pa­ling lama empat tahun sahaja meskipun beliau akhirnya mampu bertahan selama enam tahun.

Namun takdir menentukan bahawa Ismail yang berusia 57 tahun pergi dulu dari Razak apabila tokoh disegani yang tidak pernah lekang dengan paipnya itu mengalami serangan jantung saat beliau sedang berehat bersendirian di bilik membaca di tingkat atas rumahnya di Maxwell Road, Kuala Lumpur (sekarang Jalan Tun Dr. Ismail) pada Khamis 2 Ogos 1973.

Ketika itu, Ismail menjadi pemangku Perdana Menteri sepeninggalan Tun Razak menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Ottawa, Kanada. Razak terus longlai apabila diberitahu be­rita duka itu dan terpaksa dipapah oleh doktor Stewart C. McPherson yang menjaga kesihatannya sepanjang berada di luar negara.

Razak turut mengarahkan supaya jenazah Ismail diletakkan di bangunan Parlimen supaya rakyat Malaysia tanpa mengira agama dapat menziarahinya tanpa kekok. Beliau juga memberi arahan pengebumian sahabatnya itu supaya dilangsungkan penuh istiadat pengebumian negara dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Utusan Melayu pada 4 Ogos 1973 menyiarkan berita bertajuk ‘Negara Berkabung’ apabila pemangku Perdana Menteri Dr. Abdul Rahman meninggal dunia pada usia 57 tahun pada pukul 10 malam 2 Ogos 1973 yang amat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Utusan Zaman pada 5 Ogos 1973 menyiarkan berita di muka hadapan bertajuk ‘Pahlawan Negara selamat dikebumikan.

“Begitulah akhirnya Tun Dr. Ismail Alhaj bin Datuk Haji Abdul Rahman menjadi Pahlawan negara Malaysia pertama dikebumikan di Makam Pahlawan.

“Tidak lama sebelum kematian Ismail, Puan Tang Mong Lan, ibu kepada sahabat karibnya, Philip dan Robert Kuok, pernah menilik nasibnya dan meramalkan beliau (Ismail) bakal menaiki tangga mencapai kedudukan lebih tinggi.

“Ramalan itu seolah-olah menjadi kenyataan juga. Ismail meninggal dunia bukan sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi pemangku Perdana Menteri” (Ooi Kee Beng 2006: 12).

Wan Mohd. Mahyiddin dalam buku UMNO: Sejarah, Organisasi dan Pelaksanaan Dasar (2007) menyatakan, Ismail semasa menjadi ‘Menteri Tak berjawatan’ (berportfolio) dan dilantik menjadi Wakil Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berjaya melobi agar Tanah Melayu di­terima menjadi anggota PBB ke-82 pada 17 September 1957.

Semasa rombongan bagi merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu bertolak ke London pada 1 Januari 1956, Tun Dr. Ismail adalah seorang daripada empat anggota yang turut mewakili Perikatan.

Selepas kembali ke tanah air pada 20 Ogos, beliau turut menandatangani Perisytiharan Tarikh Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan