Biarpun memasuki edisi ke-15 tahun ini, persembahan dan demonstrasi tersebut tetap dinanti-nantikan orang ramai yang sentiasa memenuhi segenap sudut Pulau Langkawi agar tidak terlepas menyaksikan aksi-aksi hebat itu.

Tahun ini, LIMA 2019 yang bermula 26 hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL) turut menyediakan beberapa persembahan memukau di samping pameran statik di kedua-dua lokasi itu.

Bagi segmen pertunjukan udara, aksi kali ini pasti terarah kepada kehebatan pasukan aerobatik dari Indonesia, Jupiter One oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) yang akan mempamerkan kehebatan mereka di ruang angkasa Langkawi.

Tidak ketinggalan pasukan Russian Knight dari Rusia juga dijangka mempamerkan kemahiran aerobatik mereka di samping pasukan aerobatik negara, Krisakti serta persembahan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Udara India, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.

Selain itu, AS turut akan mempamerkan MQ-9 Predator iaitu pesawat terbang tanpa pemandu (UAV) pada pameran statik di dewan MIEC selain turut disertai China yang mempertaruhkan pesawat UAV Wing Loong II untuk segmen itu.

Dalam segmen maritim, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mempamerkan ketangkasan beberapa aset mereka seperti Combat Boat 90, Rigid Hull Inflatable Boat dan helikopter Super Lynx serta AS 555 Fennec untuk aksi demonstrasi.

Beberapa aset lain milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan akan turut terlibat dalam demonstrasi di RWL.

Dalam LIMA 2019 juga Kementerian Pengangkutan telah mengambil inisiatif untuk membawa komuniti komersial dari sektor aeroangkasa dan maritim yang akan menampilkan syarikat-syarikat pihak berkuasa pelabuhan persekutuan seperti port operator, port auxiliary service dan cruise liner.

Sementara itu, bagi sesi pertunjukan udara pada hari perdagangan, waktu persembahan adalah pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang diikuti dua sesi pada hari awam iaitu masing-masing bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Demonstrasi maritim akan berlangsung pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 5 petang hingga 6 petang sepanjang LIMA 2019 berlangsung.

Pameran kepada pelawat awam pula akan dibuka pada dua hari terakhir penganjuran dengan bayaran RM15 sehari atau pakej istimewa RM25 untuk dua hari manakala pengunjung di bawah usia 12 tahun, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) adalah percuma.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket masuk boleh membeli di kaunter pendaftaran MIEC atau menerusi laman web www.limaexhibition.com bagi tempahan awal secara atas talian.

Penganjuran LIMA 2019 oleh EN Project (M) Sdn. Bhd. kali ini akan mendapat kerjasama beberapa penaja utama seperti Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. selaku pengangkutan rasmi delegasi dan tetamu kenamaan serta kemudahan internet oleh Telekom Malaysia Bhd.

Selain itu, Affin Bank Bhd. terus menjadi bank rasmi LIMA sejak 1998 disamping Petronas dan syarikat jam tangan berjenama mewah, Oris yang akan mengeluarkan jam tangan edisi terhad sempena edisi ke-15 pameran itu.

Ikuti video mengenai penganjuran LIMA menerusi www.utusan.com.my.

Pentas pamer keupayaan pertahanan Malaysia

LIMA 2019 yang akan membuka tirai pada 26 Mac ini adalah alternatif terhadap pertumbuhan dan keupayaan industri maritim dan aeroangkasa tempatan di mata dunia.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, acara nasional yang mengangkat tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’ kali ini berbeza dengan edisi-edisi LIMA sebelum ini.

“Pameran yang akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL) ini sangat bermakna dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan pencetus idea kali pertama LIMA dilancarkan pada 1991.

“Malah, LIMA 2019 dijangka menarik seramai 40,000 pelawat perdagangan dan lebih 240,000 pelawat awam selain sasaran kita seramai 400 tetamu dari 46 buah negara yang akan menjayakan LIMA kali ini,” katanya.

Menurut Mohamad, LIMA memberi impak yang besar kepada Langkawi sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa yang secara tidak langsung dapat menaik taraf ekonomi masyarakat setempat.

“Malah, saya berharap hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara luar khususnya negara yang mengambil bahagian akan dapat dieratkan lagi dengan penganjuran LIMA.

“Kita mendapat sambutan positif dari negara kuasa besar misalnya Turki yang akan menjadi Pavilion Negara terbesar pada LIMA 2019 diikuti Rusia,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata Mohamad, LIMA 2019 tidak hanya tertumpu kepada pengisian pertahanan semata-mata yang merangkumi 60 peratus pameran, tetapi pada masa sama turut melihat kepentingan komersial dengan menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat untuk mempamerkan peralatan dan teknologi terkini mereka.

Tambah beliau, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) merupakan pempamer terbesar dengan ruang pameran berkeluasan 609 meter persegi bagi syarikat tempatan manakala ASELSAN dari Turki sebagai pempamer antarabangsa terbesar.

“Kementerian Pengangkutan juga telah mengambil langkah untuk membawa komuniti komersial daripada sektor aeroangkasa dan maritim dengan jumlah keseluruhan ruang pameran yang ditempah melebihi 500 meter persegi,” katanya.

Berkenaan persiapan LIMA 2019 yang akan berlangsung kurang sebulan lagi, beliau berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan termasuk kerja-kerja menaik taraf beberapa infrastruktur di dewan MIEC dan RWL bagi memastikan segala fasiliti berfungsi dengan baik.