Sudah tentu dahsyat bukan? Disebabkan kesedaran tentang ancaman yang wujud, Malaysia maju selangkah lagi dan tidak mahu ketinggalan dalam membangunkan bahan bangunan kalis letupan di samping cermin ‘kebal’ bagi menangkis serangan pengganas.

Teknologi yang dibangunkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini mendapat perhatian wakil daripada pelbagai agensi terutama untuk bangunan dan aset penting milik tentera termasuk kedutaan luar negara.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPNM, Profesor Madya Ir. Dr. Mohammed Alias Yusof berkata, hasil kajian yang dibangunkan pada 2010 telah menjalani uji nilai dan terbukti berkemampuan tinggi sehingga turut diguna pakai pelbagai pihak.

“Kita gunakan konkrit seperti yang digunakan pemaju lain tetapi ia ditambah dengan ‘steel fiber’ sehingga mampu menahan impak letupan dan gempa bumi. Cuma kita lebih fokus kepada impak letupan disebabkan negara kita kurang risiko gempa bumi.

“Selain itu, bahan-bahan yang kami gunakan tidak mencemarkan alam sekitar, murah dan kos hanya 30 peratus lebih sedikit berbanding menggunakan bahan biasa,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Tambah Mohamed Alias, apabila ‘steel fiber’ diperkuat dan ditambah dengan elemen lain, ia akan membaiki retakan dan mengukuhkan struktur bangunan serta berlakunya proses penyerapan tenaga.

“ Bahan ini dipatenkan pada 2012 boleh menahan impak letupan sehingga 38 Megapascal( MpA).Idea untuk menghasilkan bahan ini tercetus selepas beberapa serangan pengganas termasuk di Indonesia pada 2009 dan Mumbai pada 2008.

“Selepas itu, keperluan untuk menggunakan bahan ini terus meningkat bukan hanya untuk tentera, tetapi untuk kegunaan awam seperti lapangan terbang dan pusat beli-belah,” ujarnya.

Malah Mohammed Alias berkata, uji nilai bagi membuktikan kemampuan bahan tersebut turut disaksikan oleh wakil daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Dalam pada itu, UPNM turut mencipta cermin kalis letupan dan peluru dengan menggunakan kaedah ‘PV Resin’ yang lebih murah dan menjimatkan ruang berbanding menggunakan teknik ‘Autoclave’.

Menurutnya, cermin tersebut menggunakan teknologi tempatan sepenuhnya dan kini semakin meluas penggunaannya.

“Kos pengeluaran murah dan tidak memerlukan kemahiran. Apa yang membanggakan ketahanan dan kualitinya setanding sehingga digunakan oleh banyak negara seperti New Zealand; Kuwait, Vietnam dan agensi keselamatan negara seperti Jabatan Penjara.

“Dengan adanya pembangunan seperti ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan ekonomi negara dan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” jelasnya.