Perubahan ini sebagai langkah menyediakan barisan pelapis dan memberi nafas baharu dalam Tentera Darat (TD) untuk berhadapan saingan mencabar di peringkat antarabangsa.

Dengan kata lain, penyertaan TMTD untuk kali ke-20 AASAM yang berlangsung di Puckapunyal, Australia amat penting kerana TD bukan sahaja membawa nama Malaysia, malah pasukan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keseluruhannya.

Sejak lebih dua bulan lalu seramai 12 penembak TD termasuk dua penembak tepat (sniper) telah menjalani latihan di Kem Terendak, Melaka dan Gemas, Negeri Sembilan yang secara langsung mencabar minda serta fizikal setiap anggota. Yang pasti latihan tersebut dilakukan termasuk pada hujung minggu.

Penembak dalam TMTD dipilih daripada puluhan anggota yang cuba mendapatkan tempat dalam tim berkenaan.

AASAM disertai oleh 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, negara Eropah dan negara-negara Asia Pasifik. Penyertaan para penembak itu umpama ‘duta’ TD dan Malaysia bagi membuktikan bahawa sebuah negara kecil seperti Malaysia mampu memberi saingan hebat kepada negara-negara maju.

Penyertaan TMTD di AASAM sebelum ini telah berjaya membuktikan bahawa TD mampu meraih kejayaan. Rekod setakat ini menunjukkan TD telah muncul lima kali johan dan pada tahun lalu TD berjaya meraih johan kategori mesingan.

Penyertaan dalam AASAM setiap tahun dianggap penting kerana dapat meningkatkan kepakaran ketenteraan setiap peserta dan pasukan. AASAM juga menonjolkan suasana dan persekitaran ketenteraan, peperangan serta meningkatkan lagi kemahiran peserta. Secara tidak langsung penglibatkan TD dalam AASAM dilihat berupaya melahirkan para penembak tepat sama ada dalam penggunaan senjata seperti pistol, raifal mahupun mesingan.

Dalam AASAM 2019, corak pertandingan sentiasa berubah tidak seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya. Pertandingan AASAM 2019 bakal memperlihatkan saingan penggunaan senjata mesingan, raifal dan pistol. Yang pasti, dalam saingan menembak menggunakan senjata-senjata itu, setiap penembak disyaratkan mampu menembak dalam pelbagai posisi sama ada berdiri, duduk, berlari dan meniarap.

Pelbagai cabaran getir perlu ditempuhi termasuk menembak menggunakan mesingan dalam posisi berdiri. Ini kerana senjata berkenaan agak berat dan penembak TD perlu memiliki kekuatan fizikal.

Lebih mencabar penembak juga dimestikan membawa beban seberat 16 kilogram. AASAM 2019 juga dilihat sebagai latihan menambah ilmu dan pengetahuan kepada TD kerana pertandingan itu diadaptasikan dari suasana peperangan masa kini.

CABARAN AASAM 2019 LEBIH GETIR

PERTANDINGAN Australia Army Skill at Arms Meet (AASAM) 2019 bukan sahaja menguji kemampuan dan kekuatan fizikal setiap peserta, malah setiap penembak perlu mahir menilai situasi ketika berada di lapang sasar.

Ia bukan sahaja melibatkan faktor muka bumi di Puckapunyal, malah melibatkan penilaian terhadap pergerakan angin dan suhu.

Pengurus Tim Menembak Tentera Darat (TMTD), Leftenan Kolonel Roszaini Mohamad Alide ketika mendedahkan perkara ini memberitahu, keadaan cuaca di lapang sasar AASAM tidak menentu setiap hari.

“Keadaan ini akan menguji ketahanan penembak,’’ katanya di Kem Terendak, Melaka.

Menurut Roszaini, begitu juga tiupan angin di lapang sasar yang bertiup sehingga 16 knot.

“Di tapak tembak lapang sasar angin bertiup dari arah yang lain manakala di bahagian benteng lapang sasar angin bertiup dari arah yang berbeza di mana pergerakan angin tidak menentu.

“Keadaan ini perlu dinilai oleh para penembak kerana ia memberi kesan kepada kelajuan peluru serta ketepatan sasaran,’’ katanya.

Jelasnya, sebagai penembak Tentera Darat (TD), setiap anggota bukan sahaja harus mahir menggunakan senjata, juga perlu dapat menilai dan mengadaptasi situasi di lapang sasar yang melibatkan faktor-faktor suhu, pergerakan angin dan sebagainya.

Pengumpulan data-data yang telah diambil sebelum ini dibuat analisis dan penambahbaikan dalam sistem latihan bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi penembak.

“Dengan kata lain, setiap penembak TD harus peka kerana ia menjadi penentu terhadap sasaran yang ditembak,’’ katanya.